KAIFIAT IBADAH adalah hak eksklusif Allah swt. Ia diterjemahkan dalam kehidupan manusia melalui ajaran Nabi Muhammad saw. Tiada manusia atau makhluk lain yang layak mereka-reka cara beribadah. Walau pada pemikiran mereka, itu adalah baik. Ia mungkin tidak baik di sisi Allah swt.
Ulama' usul al-fiqh meletakkan kaedah, asal hukum bagi ibadah adalah haram, sehingga ada nas samada daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menukarkan hukum tersebut. Solat itu haram hukumnya, sehingga ada nas daripada al-Quran melalui suruhan-Nya yang menukar hukum tersebut kepada wajib. Begitu juga haji, puasa dan lain-lain.
Terdapat ibadah yang nampak baik, namun menjadi khilaf di kalangan para ulama', samada ia sunat atau haram. Contohnya, membaca Yasin di malam Jumaat, membaca qunut dalam Solat Subuh, membaca al-Ma'thurat secara keseluruhan dan lain-lain. Saya tidak berhajat untuk menceritakan perbahasan yang panjang lebar dan tidak berkesudahan di kalangan ulama' tentang hal-hal ini. Yang pasti, setiap ulama' berpegang dengan sesuatu perkara itu dengan ilmunya, dan bukan taqlid buta. Hanya Allah yang dapat menilai pahala di sebalik ijtihad yang mereka lakukan.
Namun, saya ingin menarik perhatian para sahabat. Menjadi keutamaan kita sebagai orang awam untuk menghilangkan khilaf ini. Saya suka menyebut kaedah yang dikongsi oleh al-Qardhawi dalam mengamalkan perkara-perkara khilaf seperti ini. Contohnya, membaca al-Ma'thurat. Beliau mencadangkan bacaan al-Ma'thurat itu dilakukan dengan bacaan yang pelbagai dengan sengaja. Contohnya, dibaca secara keseluruhan pada satu ketika, dibaca separuh pada ketika yang lain dan dibaca pada kadar yang lain pada waktu yang lain.
Begitu juga dengan amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat. Dibaca Yasin pada malam Jumaat, pada minggu berikut, dibaca separuh daripada Yasin, kadang-kadang diselang-selikan dengan bacaan daripada surah yang lain daripada al-Quran dan sebagainya. Yang pasti, Surah al-Kahfi itu disebutkan dalam hadis.
Berbeza dengan yang khilaf, ada yang qat'i dalam beribadah. Yang wajib itu tetap wajib. Yang sunat sebagai tambahan. Utamakan yang wajib, hiasi dengan yang sunat. Jangan terlalu utamakan yang sunat sehingga ditinggalkan yang wajib.Tidak penting kuantiti, yang penting adalah kualiti. Moga Allah swt memandang segala ibadah kita, tidak kira yang sedikit atau yang besar. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment