Wednesday 18 January 2012

Niat























Setiap perkara adalah didasari dengan niat. Dalam hadis, diceritakan bagaimana dua orang sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah. Seorang, dengan niat kerana Allah, manakala seorang lagi kerana wanita yang dicintainya. Maka, sahabat yang pertama mendapat kemanisan dalam keimanan, manakala yang kedua sekadar mendapat cinta dari wanita yang dicintainya. Mereka berdua mendapat apa yang diniatkan ketika hijrah mereka.

Niat dan perbuatan tidak boleh dipisahkan. Setiap perbuatan, pasti dimulai dengan niat. Ia membezakan antara yang hak dan yang batil, antara yang wajib dan yang sunat, antara sengaja atau tidak, serta menyalahi syariat Allah ataupun tidak.

Manusia tidak dapat melihat atau mengetahui niat seseorang. Yang diketahui, hanya lah apa yang zahir, itu lah perbuatan. Dalam hadis, diceritakan bagaimana Rasulullah saw menyebut, jika seorang pemuda dilihat sentiasa berulang-alik ke masjid, maka tidak ada keraguan pada keimanannya. Walhal, iman, hanya boleh dinilai oleh Allah swt. Namun, perbuatan ulang-alik ke masjid itu, dapat dilihat oleh manusia. Itu lah yang menjadi penilaian manusia. Kepada apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

Dalam Islam, terdapat konsep Ihsan. Melakukan sesuatu seolah-olah kita melihat Allah swt. Jika kita tidak melihat Allah, maka ketahui lah bahawa Allah sentiasa melihat kita. Intipati Ihsan, adalah ikhlas.

Setiap perbuatan baik, perlu ada keikhlasan. Baru lah ia akan dinilai disisi Allah. Namun, ia, bukan sesuatu yang mudah dikawal. Ulama' menyebut, terdapat 3 peringkat ikhlas, iaitu; sebelum, semasa dan selepas. Contohnya bersedekah. Sebelum sedekah, manusia perlu ikhlas kepada Allah. Bahawa apa yang akan dibuat, betul-betul kerana Allah dan bukannya kerana niat yang lain. Semasa menghulurkan sedekah, juga perlu kepada keikhlasan. Bukan kerana ada yang melihat perbuatan tersebut. Yang lebih susah dikawal, adalah selepas sedekah. Dibimbangi, kita menceritakan kepada orang lain, kerana riya', membesar-besarkan diri dan lain-lain. Kerana tiada keikhlasan, maka segala amalan akan ditolak. Na'uzubillah. Sia-sia segala amalan kita.

Namun, Allah swt Maha Pengampun dan Maha Mengerti kelemahan diri manusia. Segala perbuatan, walau ada sekelumit keikhlasan, ia tetap pasti akan dinilai di sisi Allah swt. Walaubagaimanapun, tetap menjadi tanggungjawab manusia sebagai hamba untuk mengawal diri, tangan, mulut, mata dan hati. Kerana semuanya akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat kelak. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment