Friday 3 February 2012
Maulidur Rasul
Maulidur Rasul bermaksud kelahiran Rasulullah saw. Sebenarnya para ulama' berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran baginda saw, sebagaimana berbeza pendapat di kalangan ulama' mengenai umur sebenar baginda. Namun, itu semua tidak penting. Yang penting bagi umat Islam, adalah untuk berterus-terusan istiqamah dalam agama Islam, ajaran yang diperintahkan oleh Allah swt untuk diajarkan kepada kita melalui utusan-Nya, Muhammad saw.
Baginda saw adalah contoh ikutan yang terbaik. Seluruh kehidupan baginda menjadi panduan bagi manusia untuk diikuti dari pelbagai sudut, samada pendidikan, keibubapaan, pemimpin, penjagaan kesihatan, agama dan lain-lain.
Kehidupan baginda dikenali sebagai Sunnah. Ada sifat baginda yang dibuat kerana sifat harus bagi seorang manusia, contohnya makan dan minum. Ada juga sifat baginda yang dilakukan kerana kebudayaan ketika itu, contohnya memakai jubah dan serban. Ada juga sifat baginda yang dilakukan sebagai tunjuk cara ibadah. Apapun sifat baginda, bagi umat Islam, jika mengikut semua sifat tersebut, maka ia termasuk dalam Sunnah Za'idah (Sunnah Tambahan), iaitu Sunnah yang dilakukan bukan kerana sifat harus manusia biasa, bukan kerana kebudayaan, sebaliknya sebagai tanda kecintaan kepada baginda saw.
Pernah seorang sahabat, tidak mengikut baginda berperang dalam Perang Uhud kerana jarak yang terlalu jauh. Dalam perang tersebut, baginda kehilangan sebatang gigi. Terdengar berita tersebut, kerana kecintaan kepada baginda, beliau sanggup mematahkan giginya sendiri. Apabila ditanya oleh sahabat yang lain, kenapa dilakukan sedemikian, beliau menjawab, "bagi merasai kesakitan sepertimana yang dirasai oleh baginda saw." Begitu lah cintanya para sahabat kepada Rasulullah saw.
Sebagai umat Islam, untuk tunjukkan kecintaan kita kepada baginda, bukanlah dengan melalu berarak, terpekik melolong di jalan raya dan mengganggu golongan yang bukan Islam, sebaliknya caranya adalah dengan mencontohi sikap dan perjalanan hidup baginda saw secara keseluruhan. Buat segala suruhan dan tinggal segala larangan.
Perbanyakkan selawat ke atas baginda kerana Allah juga berselawat ke atas Nabi Muhammad saw. Moga kita semua mendapat syafaat daripada Rasulullah saw di akhirat nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment