Sunday 4 March 2012

Mulakan hari anda dengan sunnah yang mudah..


Beriman kepada rasul itu, wajib. Ia salah satu daripada 6 rukun iman. Ini menunjukkan, jika menolak kepercayaan kepada rasul, atau menolak kepercayaan kepada salah seorang kepada rasul, atau menolak sebahagian daripada ajaran rasul, maka iman seseorang itu akan tertolak. Itu lah yang terjadi kepada kaum Yahudi dan Kristian, menolak kepercayaan kepada Nabi Muhammad saw, walaupun masih mempercayai nabi-nabi yang lain. Itu lah juga yang terjadi kepada kaum yang murtad serta kaum yang tidak ingin membayar zakat, selepas kewafatan baginda saw, sehingga mereka diperangi oleh Abu Bakar as-Siddiq ra.

Rasul diutuskan oleh Allah kepada manusia, kerana banyak tujuan, antaranya; untuk menjadi contoh tauladan untuk amalan manusia, dalam setiap genap kehidupan. Itu lah juga antara hikmah rasul dilantik oleh Allah swt dari kalangan manusia, dan bukannya jin, atau malaikat. Kerana malaikat, jika mereka dilantik menjadi rasul, nescaya manusia tidak akan mampu untuk mencontohi mereka, kerana amalan dan ibadah mereka yang hebat. Namun, itu semua kerana sifat mereka yang berbeza dengan manusia, tidak makan, tidak minum, tidak tidur, tiada nafsu, tidak berkahwin dan sebagainya.

Amalan junjungan nabi kita, Rasulullah saw, dikumpulkan dalam bentuk hadis, ditulis dalam banyak kitab, antaranya Sunan Sittah dan kitab-kitab hadis yang lain. Ada yang dinilai sahih, hasan, dhoif, maudhu' dan lain-lain. Yang sahih dan hasan sahaja, jika ingin diamalkan, mempunyai beribu-ribu hadis, yang mungkin tidak mampu bagi kita sebagai manusia biasa untuk mengetahui kesemuanya. Dan tidak mungkin juga bagi kita mengamalkannya. Lebih-lebih lagi di zaman fitnah, keinginan dan kesibukan mengejar dunia dan kelemahan iman kita ini. Sedangkan amalan atau sunnah Rasul itu, jika diamalkan, akan diberikan seribu satu rahmat, pahala, menunjukkan kecintaan kepada baginda saw, dan yang lebih besar, syafaat daripada baginda saw sendiri di akhirat kelak.

Namun, ada sunnah-sunnah yang ringkas, yang boleh diamalkan oleh kita. Amalan-amalan yang sentiasa diamalkan oleh kita setiap hari, namun ianya dibazirkan tanpa kita sedari. Sedangkan jika diniatkan ia kerana cinta Rasul dan mengikut sunnah baginda saw, maka kita akan mendapat pahala kerana mengikut sunnahnya saw. Contohnya, amalan siwak (gosok gigi), mandi, memulakan setiap perbuatan dengan belah kanan dan sebagainya. Setiap pagi, bangun pagi, mandi, niat kerana mengikut sunnah rasul. Gosok gigi, niat kerana sunnah rasul. Mulakan mandi dengan menjirus air di sebelah kanan. Mulakan gosok gigi di sebelah kanan. Begitu juga dengan memakai baju, sikat rambut, memakai selipar atau kasut, memulakan perjalanan keluar dari rumah dan lain-lain. Mulakan semua amalan dengan belah kanan dengan niat kecintaan kepada rasul. Ini lah sunnah yang ringkas, yang telah banyak kita bazirkan, sedangkan ia dibuat setiap hari.

Ayuh para sahabat. Kita rancakkan lagi sunnah rasul dalam amalan seharian kita. Di pagi yang indah ini, berapa banyak sunnah rasul yang dapat kita amalkan. Hanya tukar perkara yang harus, dengan niat, menjadikan ianya sunnah. Moga-moga kita semua dirahmati oleh Allah dan disayangi dan diingati oleh baginda saw di akhirat kelak. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment