Monday 23 April 2012

Syahadah: Bukti kecintaan kita kepada Allah

Kalimah syahadah, dilihat sebagai satu kalimah yang mudah disebut oleh Umat Islam. Di Malaysia, bukan sahaja Umat Islam, bahkan terdapat juga orang bukan Islam yang turut boleh menyebut Kalimah Syahadah. Walau dalam pelat masing-masing, Cina dengan pelatnya, India dengan pelatnya dan lain-lain. Lebih-lebih lagi selepas rakaman nasyid yang mempopularkan Raihan satu ketika dulu diterbitkan.

Namun, ramai yang kurang memahami maksud di sebalik kalimah agung tersebut. Ia sebenarnya adalah kalimah yang menyaksikan kecintaan hamba kepada Allah Yang Satu. Tidak seperti kalimah "I love you" atau "Woaini" atau "Ana uhibbuk," kalimah ini berbunyi "Lailahaillallah" yang bermaksud "tiada tuhan yang disembah melainkan Allah."

Terkandung di sebalik kalimah ini, pengumpulan semua ilah (tuhan) yang ada di dunia, seperti yang disebutkan dalam al-Quran, seperti:-
 - berhala, cth: al-Latta, al-Uzza dan al-Manat,
 - manusia, cth: Firaun,
 - asy-Syam (matahari), al-Qamar (bulan) dan an-Nujum (bintang) seperti yang dianalisis oleh Nabi Ibrahim as sebagai makhluk yang mempunyai kuasa, jasa dan sumbangan yang besar kepada kehidupan manusia sehingga boleh dikategorikan sebagai tuhan,
 - api, cth: agama Majusi dll.
Namun, sifat ketuhanan semua makhluk itu dinafikan oleh Allah dalam kalimah syahadat dan meninggalkan Allah sebagai satu-satunya yang berhak disembah.

Dalam kehidupan seharian, Umat Islam diseru supaya mengagungkan Allah sebagai tuhan. Dalam azan, wudhu', solat dan ibadat-ibadat lain, kita diseru untuk sentiasa memperbaharui syahadah. Moga kita semua mati dalam syahadah yang sebenar. Allah'alam.

No comments:

Post a Comment