Thursday, 28 February 2013
Mesyuarat Agung PIBG, Perasmian Surau dan Program Sepakat Bestari
Satu program yang gilang-gemilang telah berjaya dilaksanakan di SMKUJ pada 28 Februari 2013. Ia adalah gabungan beberapa program, iaitu; Mesyuarat Agung PIBG, Perasmian Surau dan Program Sepakat Bestari. Dalam Program Sepakat Bestari, terdapat beberapa aktiviti yang turut dijalankan, iaitu Sukan Rakyat, Jamuan Rakyat, Kursus Rakyat dll. Selain itu, pameran sempena Minggu Teknik dan Vokasional dan Minggu Kerjaya turut diadakan. Program ini adalah hasil kerjasama antara SMKUJ, Jabatan Penerangan Jelebu, Kolej Komuniti Jelebu, RTM, Muzium Adat dan sebagainya. Kehadiran komuniti sekitar dianggarkan seramai 600 orang, diserikan lagi dengan penyertaan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar Jelebu.
Program bermula sejak dari awal pagi, iaitu pada pukul 8.00 pagi dengan ceramah yang dikendalikan oleh Bank Negara di Dewan Karisma kepada semua pelajar SMKUJ. Kursus dari Kolej Komuniti dan pameran turut diadakan serentak di tempat berbeza. Pada pukul 11.00 pagi, kehadiran DSU Dr Rais Yatim bersama keempat-empat ADUN, pengarah-pengarah jabatan berkenaan, dan wakil-wakil institusi. Pengarah Pelajaran diwakili oleh Puan Radiah, PPD Jempol Jelebu. Semua dif kehormat dibawa melawat pameran yang disediakan sebelum diiringi ke meja makan.
Majlis rasmi dimulakan dengan ucapan aluan diberikan oleh Encik Azmi Abdul Aziz, YDP PIBG, kemudian disusuli dengan ucapan oleh YB Yunus Rahmat selaku ADUN Klawang. Ucapan kemuncak disempurnakan oleh YB DSU Dr Rais Yatim, mengimbau kembali kehebatan SMKUJ sebagai sebuah sekolah yang hebat dan berjaya melahirkan banyak tokoh. Beliau turut menjamin bantuan yang akan diberikan melalui perbincangan dengan pihak PIBG.
Dalam majlis tersebut, beberapa sumbangan turut disampaikan, antaranya Hadiah Kecemerlangan PMR 2012, Cenderamata AJK PIBG, BRIM dll. Makan dan minum disediakan secara berhidang, diiringi alunan muzik ghazal. Upacara kemuncak diakhiri dengan sesi bergambar dif kehormat bersama semua AJK PIBG 2012. Majlis ditangguhkan pada jam 1.00 petang dengan kepulangan semua dif kehormat.
Pada sesi petang, berlangsung pula mesyuarat agung PIBG. Beberapa usul telah diluluskan. Pelantikan AJK baru PIBG di kalangan ibu bapa turut diadakan. Selepas selesai mesyuarat, ibu bapa bagi pelajar tingkatan 3 diberikan keputusan anak masing-masing. Makan petang turut disediakan. Majlis bersurai pada jam 5.00 petang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment