Friday, 15 February 2013

Wakaf: Pelaburan yang Kekal

            Di dunia materialistik pada hari ini, semua orang berusaha mengejar kemewahan dunia. Kemewahan itu adalah kemuncak kebahagian. Justeru, duit, harta dan pangkat merupakan modal awal kepada kebahagiaan yang dicari. Setidak-tidaknya, itulah yang mereka fikirkan.

            Namun, ramai daripada kita lupa, kebahagiaan adalah kemuncak nikmat di hati. Tilam yang empuk tidak dapat ditukar dengan tidur yang lena. Sebaliknya, walaupun dengan beralas tikar yang lusuh, seseorang masih boleh mendapat kenikmatan dan kebahagiaan tidur yang lena. Mari kita renungi firman Allah swt dalam Surah al-Hadid, ayat 7, maksudnya:

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan infaqkanlah sebahagian harta yang Allah telah berikan kepadamu. Maka orang-orang yang beriman diantara kamu serta berinfaq, bagi mereka itu ada ganjaran yang besar.

            Janji Allah swt kepada orang-orang yang beriman, ganjaran yang besar bagi mereka yang berinfaq ke jalan Allah. Persoalannya, adakah infaq mesti bermodalkan harta? Apakah maksud harta dalam ayat tersebut?

            Harta, sebenarnya adalah simbolik kepada kekayaan. Kekayaan, tidak semestinya bersifat metarial. Orang miskin, akan merasai bahawa orang kaya itu berharta. Namun, pengertian itu nyata berbeza bagi seorang pesakit. Baginya, sihat adalah harta paling berharga. Begitu juga dengan orang yang sibuk, akan merasai masa adalah harta paling berharga.

            Justeru, infaq tidak semestinya memerlukan kekayaan. Ia sebenarnya, adalah dengan apa yang kita ada. Itulah ‘harta’ kita. Kerana ianya bernilai di sisi orang yang tiada. Sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw, sabdanya:

Setiap sendi ditubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah. Kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti dijalan adalah sedekah.                                                        (Riwayat Bukhari)

            Infaq harta, ada yang berbentuk ‘one-off’ dan ada yang berbentuk kekal. Kedua-duanya baik dan digalakkan, namun yang manakah pelaburan yang baik dan memberi keuntungan, walaupun setelah penginfaq mati? Jawapannya, sudah tentu infaq yang berbentuk kekal. Itu lah ia wakaf. Kerana, keuntungannya berkekalan dan berpanjangan, selagimana pengguna menggunakannya. Sabda Rasulullah saw:

Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara:  Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.                    (Riwayat Bukhari, Tarmizi & an-Nasa’i)

            Jika wakaf dengan harta kekayaan, tidak semestinya dengan jumlah yang besar. Kerana, ia menghilangkan peluang orang miskin untuk turut mendapat fadilat wakaf. Daripada wakaf yang berskala besar, seperti wakaf tanah untuk pembinaan masjid, sehinggalah sekecil-kecil wakaf, seperti mewakafkan bantal untuk kegunaan pelajar tidur, semuanya akan dinilai di sisi Allah swt. Asalkan pemberian tersebut diberi dengan penuh keikhlasan.

            Walaubagaimanapun, wakaf boleh juga dibuat dengan menyumbang idea, tenaga dan masa. Seperti menyumbang tenaga dan idea untuk mempromosikan institusi wakaf, atau pembinaan bilik aktiviti di sekolah, insya’Allah akan turut dinilai di sisi Allah swt.

            Ingatlah, dalam kesibukan membina mahligai kekayaan di dunia, mahligai di akhirat jangan dibiarkan roboh. Modal yang ada di dunia, jangan sekadar dilaburkan di dunia, kerana ianya akan hangus, apabila tuannya mati. Tapi, pelaburan akhirat, bersifat kekal abadi. Maka, ia adalah pelaburan yang bijak. Allah’alam.

No comments:

Post a Comment