Friday 3 August 2012

Bicara Ramadhan: Bersama Muallaf


Pada 3 Ogos, telah diadakan satu program, bual bicara di Dewan Karisma SMKUJ. Bual bicara itu dipengerusikan oleh Ustaz Wan Ali Akbar. Panel jemputan merupakan seorang muallaf, yang baru sahaja memeluk Islam lebih kurang 3 tahun yang lepas.

Hakimi, atau nama sebenarnya Albert anak Siam merupakan orang Iban, berasal dari Limbang, Serawak. Mempunyai 7 orang adik beradik. Keluarganya adalah pemeluk Kristian. Beliau merupakan seorang Ketua Gereja di kampungnya.

Melalui penceritaan beliau, beliau mula tertarik kepada Islam sejak dari umur 6 tahun lagi, dek kerana asyik mendengar alunan azan di televisyen. Niat ingin memeluk Islam lebih memuncak apabila beliau bermimpi hantu, dan secara tidak sengaja terkejut dari tidur, lalu mengucap dua kalimah syahadah. Pada akhirnya, beliau memeluk Islam secara rasmi ketika berumur 24 tahun, di Pejabat Agama Islam Limbang.

Beliau yang mengakui, masih lagi dalam proses mendalami ilmu Islam dan amalan-amalannya, bagaimanapun menyebut bahawa Islam telah membawa ketenangan yang sejati dalam hidupnya, serta mengubah hidupnya menjadi lebih baik daripada kehidupannya semasa Kristian. Tidak kurang juga, solatnya juga lebih khusyu' serta dapat merasai kenikmatan solat tersebut.

Moga beliau terus istiqamah dalam Iman dan Islam, dan seterusnya dapat menarik lebih ramai yang bukan Islam kepada Islam, serta menyedarkan ramai umat Islam yang leka untuk mengamalkan Islam yang sebenar.

Penyampaian cenderahati disampaikan oleh Tuan Haji Nor Hashim, Pengetua Cemerlang SMKUJ.


1 comment:

  1. Asslamualaikum.. ustaz, tahniah brjaya adakan bualbicara dgn muallaf. Saya juga brcadang mengadakan program begini di sekolah saya, boleh tak saya minta bantuan drpd ustaz nak lihat contoh kertas keje yg ustaz buat. Besar sgt harapan saya agar ada insan yg mahu share. Besar ganjaranya disisiNya.tk

    ReplyDelete