Friday, 30 November 2012

Inovasi dalam Islam



Kita selalu bercakap tentang kehebatan tamadun Islam pada zaman dahulu. Terutama pada zaman kegemilangan Islam Abbasiyyah. Dr Najm Abdul Rahman Khallaf dalam ceramahnya di USIM dua hari yang lepas, menceritakan tentang gerakan ilmu dan inovasi yang dimulai sejak dari zaman Rasul saw lagi. Dr Mustafa Khail dalam ceramahnya semalam pula menceritakan bagaimana Salman al-Farisi, apabila memberikan idea tentang kaedah baru dalam sistem pertempuran, iaitu menggali parit sebagai benteng pertahanan, beliau yang berketurunan Parsi menjadi rebutan semua golongan yang ada di Madinah ketika itu. Orang Ansar (Aus dan Khazraj) mendakwa bahawa Salman adalah dari kalangan mereka, manakala orang Muhajirin (Quraisy) pula mendakwa bahawa beliau adalah dari kalangan mereka. Lalu, akhirnya Nabi Muhammad saw, apabila mendengar perbalahan tersebut, terus bersabda: Salman min ahlil bait (Salman adalah dari kalangan ahlul bait - keluarga Nabi). Hebatnya para ilmuan terdahulu.

Antara inovasi yang pernah dihasilkan, ialah; astrolobe. Ia adalah satu alat yang digunakan dalam navigasi ketika pelayaran. Digunakan untuk tujuan menentukan arah tuju kapal. Mana arah utara, selatan, timur dan barat. Dicipta dalam tamadun Yunan, namun dimodifikasi oleh ulama Islam iaitu al-Fazari, sehingga akhirnya ia digunakan untuk tujuan penentuan arah kiblat dll.

Astrolobe

Selain itu, bagaimana falsafah Yunan yang menyebut tentang bumi itu bulat, diperdebatkan semula oleh ulama' Islam setelah lama dilupakan oleh masyarakat dunia ketika itu. Setelah melalui beberapa siri perdebatan, akhirnya, para ulama' menghasilkan peta dunia, antara yang paling lengkap pada zamannya. Peta dibuat dalam bentuk glob, juga dicipta oleh ulama' silam. Selain itu, ilmu al-Gebra oleh al-Khawarizmi, dimanafaatkan sepenuhnya untuk pengiraan longitud dan latitud untuk menentukan koordinasi seseorang di dunia.

Banyak lagi inovasi yang dilakukan mereka, yang kalau diperhatikan, semuanya dilakukan kerana pengabdian diri mereka kepada Allah. Setiap satu inovasi yang dibuat, sangat terperinci. Subhanallah. Kalau sarjana sekarang boleh mendapat PhD kerana membuat instrumen yang baik, maka kita patut malu dengan ulama' terdahulu kerana mereka jauh lebih hebat. Hebatnya mereka kerana kepelbagaian cabang yang mereka kuasai.

Pada hari ini, kita tidak mampu untuk lakukan sepertimana yang mereka lakukan. Dalam teori ekonomi, untuk mendapat duit yang banyak, maka ada dua cara, iaitu melalui kuantiti dan kualiti. Melalui kualiti, maka produk tersebut dapat dijual dengan harga yang mahal, lalu akan membuahkan duit yang banyak. Manakala, melalui kuantiti, produk yang dihasilkan mungkin biasa-biasa saja, dijual dengan harga yang murah, namun dalam kuantiti yang banyak, juga dapat membuahkan duit yang banyak. Perbezaan ini ibarat jualan ferrari dan proton.

Begitulah kita pada hari ini. Perbezaan yang ketara antara kita dan ulama' silam menyebabkan kita tidak dapat menghasilkan inovasi berkualiti sepertimana mereka. Namun, apa salahnya kita hasilkan sesuatu yang berada dalam keupayaan kita, namun dalam kuantiti yang banyak. Kuantiti yang banyak, perlukan banyak idea dan usaha. Ia bukan kerja perseorangan. Sebaliknya ia adalah kerja beramai-ramai.

Ayuh lah para pendokong Islam. Buatlah inovasi. Ia satu jihad menegakkan ketamadunan Islam. Dengan sedikit inovasi yang dihasilkan oleh setiap orang, maka dalam berkumpulan, apabila dikumpul, dengan kuantiti produk inovasi yang banyak, seterusnya akan menaikkan lagi martabat ketamadun Islam. Bukan sekadar bercerita, sebaliknya juga bertindak. Moga segala usaha kita diberkati Allah swt.

No comments:

Post a Comment