Thursday, 19 July 2012

Puasa: Sedikit perbincangan hukum...


Ketibaan Ramadhan sentiasa dinanti oleh umat Islam. Kedatangan Ramadhan bermakna sampailah masanya bagi umat Islam melaksanakan salah satu daripada rukun Islam, iaitu puasa. Ia sesuai dengan matlamat hidup manusia, iaitu; mengabdikan diri kepada Allah dan mentadbir alam sesuai dengan kehendak dan syariat Allah. Bahkan Ramadhan sendiri yang bermaksud bulan yang panas, menurut Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, merupakan bulan penghapus dosa.

Hukum berpuasa bagi seorang Muslim adalah wajib. Ia adalah hukum yang maklum dikalangan semua orang Islam tanpa perlu dipelajari secara mendalam, sebagaimana ada kaedah yang menyebut, "perkara diketahui dalam bab agama tanpa perlu dipelajari." Kewajipan tersebut bersifat fardhu ain. Maksudnya, setiap individu diwajibkan berpuasa. Dan ia bukannya bersifat fardhu kifayah. Murtad bagi seseorang Muslim yang menginkari kewajipan puasa. Implikasinya, mayatnya tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan, tidak boleh dikebumikan di perkuburan Islam, tidak boleh diwarisi hartanya dan tidak boleh diperwariskan. Serta jatuh muamalat kepadanya sebagaimana muamalat seorang Muslim dengan seorang kafir.

Manakala, bagi seseorang yang tidak mengingkari puasa, sebaliknya tetap meninggalkan puasa, maka jatuh hukum baginya fasiq. Implikasinya, tidak boleh mengambil penyaksian baginya, samada sebagai wali nikah, wali zina dan lain-lain. Maka, wajib baginya untuk bertaubat kepada Allah swt.

Apabila kita membicarakan tentang manusia yang meninggalkan puasa, timbul persoalan, dimana dalam hadis disebutkan bahawa syaitan dibelenggu dalam bulan puasa, maka kenapa manusia masih membuat kejahatan dan kemungkaran? Sebenarnya, tentang syaitan yang dibelenggu tersebut, terdapat pelbagai penafsiran di kalangan 'ulama'. al-Qardhawi menyebut bahawa sebenarnya, maksud hadis tersebut adalah syaitan tidak mampu menguasai nafsu orang yang berpuasa. Ia ekoran nafus orang yang berpuasa berada pada tahap minima. Ada juga yang berpendapat bahawa hanya syaitan yang utama sahaj yang diikat. Sebaliknya, yang lain masih bebas menghasut manusia membuat kejahatan dan kemungkaran. Syeikh Atiyyah Saqar pula menyebut bahawa, sebenarnya, memang semua syaitan dibelenggu, namun kerana didikan syaitan selama 11 bulan berjaya menjadikan kejahatan dan kemungkaran itu satu tabiat menyebabkan walau syaitan diikat, maka manusia berterusan membuat kemungkaran walau di bulan puasa.

Walau apapun, pastikan supaya peluang dalam bulan Ramadhan ini dimanafaatkan. Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja. Antara peluang yang boleh diambil bagi para pelajar, adalah manafaat doa yang dimakbulkan terutama ketika hampir berbuka berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam sanadnya yang sahih serta hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam sanadnya yang hasan yang menyebut bahawa antara 3 golongan yang tidak akan ditolak doa mereka adalah doa orang yang berpuasa.

Hindarkan daripada perkara-perkara berikut:-

  • Mengutamakan solat sunnat Tarawih secara berjamaah, tetapi meninggalkan solat fardhu Isyak secara berjamaah.
  • Mengutamakan cepatnya untuk khatam al-Quran, tetapi meninggalkan usaha untuk tadabbur al-Quran.
  • Melambatkan solat fardhu Maghrib disebabkan oleh berbuka. Sedangkan seseorang sepatutnya menyegerakan solat fardhu Maghrib selepas berbuka puasa secara ringkas. Jika mahu sambung makan selepas solat fardhu Maghrib, silakan.
  • Mengutamakan sunnah berpakaian yang tidak disyariatkan ketika ke masjid seperti berjubah/berserban (bagi lelaki) dan bertelekung putih (bagi wanita), tetapi meninggalkan sunnah berpakaian yang disyariatkan seperti menutup aurat, tidak sombong, membazir, keterlaluan dan bertasyabbuh (meniru) kaum lain ketika berpakaian seharian.
  • Wanita mengutamakan untuk turut serta solat berjamaah di masjid, tetapi melupakan adab dan akhlaq ketika keluar rumah. Wanita boleh bersolat di masjid, tetapi jika boleh menimbulkan fitnah lebih elok dia solat di rumah sahaja.
  • Mengutamakan solat sunnat pada waktu sepertiga malam, tetapi meninggalkan solat Subuh secara berjamaah. Ini biasa terjadi pada seseorang akibat mengantuk.
  • Mengutamakan ibadah sunnat di surau atau masjid ketika waktu kerja, tetapi meninggalkan tanggungjawab dan amanah majikan di tempat kerja.
  • Dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment