Putih,
hitam, cantik, hodoh, bijak, bodoh, Melayu, Cina, India, tinggi, rendah dan
lain-lain. Itu semua adalah pakej yang diberikan Allah, percuma semenjak
kelahiran lagi. Ia tidak diminta, tidak pula di’order’, samada oleh ibu bapa,
atau anak yang akan lahir. Jadi, adakah ia memberi apa-apa manafaat kepada
manusia? Jawapannya, sudah tentu tidak. Cuba fahami sabda Rasulullah saw:
Sesungguhnya
Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu,
tetapi Allah memandang hati dan amal kamu.
(Riwayat Muslim)
Jelas
daripada Hadis tersebut, Allah lebih mengutamakan hati dan amalan hamba-Nya,
dan bukannya rupa paras dan kecantikan. Jika Allah memandang kepada rupa, maka
ia membuktikan bahawa Allah itu tidak adil, kerana Dialah yang menjadikan,
serta men’design’ rupa manusia. Namun, Allah itu Maha Adil. Oleh itu,
Dia tidak melihat kepada rupa hamba-Nya, sebaliknya menghitung serta menilai
hati dan amalan mereka.
Kenalkah
saudara dan saudari dengan Bilal bin Rabah? Bukan sahaja bergelar hamba, tetapi
juga berkulit hitam. Rendah martabatnya disisi manusia, tetapi sangat
dimuliakan oleh Rasulullah saw. Sehingga beliau dilantik menjadi muazzin yang
pertama dalam sejarah Islam. Jasanya begitu dihargai, sehingga jawatan muazzin
lebih dikenali sebagai bilal. Justeru, hebatnya Bilal kerana ketakwaannya.
Maka, beliau dimuliakan kerana ketakwaan itu. Firman Allah swt dalam Surah
al-Hujurat, ayat 13:
Sesungguhnya,
manusia yang paling mulia disisi Allah adalah orang yang paling tinggi
takwanya.
Bagaimana
pula dengan Luqman al-Hakim? Pernahkah saudara dan saudari membaca Surah
Luqman? Hebatkah beliau sehingga namanya diukir dalam al-Quran? Siapakah
beliau? Adakah beliau mempunyai rupa yang cantik? Para ‘ulama’ berselisih
tentang keturunan beliau. Namun, secara ringkasnya, kebanyakan ‘ulama menyebut
beliau sebagai seorang hamba berkulit hitam dan berasal dari Habsyi. Mari
dengar firman Allah swt dalam Surah Luqman, ayat 12 yang bermaksud:
Dan sesungguhnya
Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan.
Kebijaksanaannya
itu lah yang digunakan untuk memberi nasihat dan pandangan. Tingginya nilai
nasihat tersebut, sehingga boleh memberi kesan kepada semua umat Islam pada
hari ini. Serba-ringkas, tapi padat. Bahkan, lebih hebat daripada tesis Master
dan PhD, serta keseluruhan kitab yang ada pada hari ini, kerana nasihat
tersebut terbukti meningkatkan iman dan akhlak.
Cuba
bayangkan, jika rupa yang menjadi ukuran bagi baik atau buruknya seorang hamba
Allah, maka apakah nasib Bilal dan Luqman? Adakah mereka bersalah kerana
dilahirkan hitam? Tidak dipinta, tidak dicari, tapi diberi. Malanglah nasib
mereka, jika itu yang menjadi ukurannya. Tapi, Maha Adilnya Allah, tidak
melihat kepada semua itu, sebaliknya melihat kepada jasa dan sumbangannya
kepada Islam.
Oleh
itu, apa yang ada pada rupa? Tiada apa-apa nilai, jika rupa tersebut menjauhkan
tuannya dari iman dan hidayah. Sebaliknya, jika ia menyebabkan imannya semakin
meningkat, maka itu adalah lebih baik. Seperti Nabi Yusuf as, yang diangkat
martabatnya, daripada hamba, sehingga menjadi raja dan nabi. Berbalik kepada
soalan pelajar tadi, dengan berseloroh aku menjawab, “mandi Clorox.”
Allah’alam.
No comments:
Post a Comment