Saturday, 18 February 2012

Dosa: Layakkah kita diampunkan Allah?

















KESALAHAN adalah satu sifat harus bagi manusia. Semua manusia melakukan kesalahan. Hatta Rasulullah saw, walau dilantik menjadi Nabi, utusan Allah swt, masih melakukan kesalahan.

Dalam al-Quran, 'ulama menyenaraikan, sekurang-kurangnya terdapat 11 teguran oleh Allah swt kepada baginda saw atas kesalahan yang dilakukannya. Hal ini kerana, baginda saw juga adalah manusia biasa dan tidak terlepas daripada sifat harus manusia, antaranya melakukan kesalahan. Namun, kesalahan baginda saw, tidak dikira disisi Allah swt, kerana sifat maksumnya baginda, terpelihara daripada sebarang dosa.

Apabila difikirkan, kenapa baginda saw dikurniakan oleh Allah dengan sifat maksum? Kenapa manusia biasa seperti kita tidak diberikan sifat maksum? Hatta, para sahabat yang dekat dengan baginda saw juga tidak dikurniakan sifat maksum. Kenapa?

Jawapannya dapat dilihat daripada amalan yang dilakukan baginda saw. Layakkah kita sebagai manusia untuk dibandingkan dengan diri baginda saw? Dari sudut amalan, taubat, zikir dan ibadah yang dilakukan baginda saw? Tanpa sebarang rasa penat, jemu, keluhan dan penyesalan. Itulah istimewanya baginda saw.

Disuruh solat fardhu, kita katakan sibuk. Disuruh puasa, dikatakan penat. Disuruh zakat dan sedekah, dikatakan tidak ada rezeki yang mencukupi. Na'uzubillahi min zalik. Sedangkan baginda saw adalah manusia yang paling sibuk. Baginda solat di awal waktu. Baginda solat dengan penuh kekhusyukan. Baginda solat dengan menunjukkan sepenuh pengabdian diri kepada Allah swt. Begitu juga dalam ibadah-ibadah yang lain.

Jauhnya beza antara kita dengan Rasulullah saw. Marilah wahai sahabat. Kita bermuhasabah. Tingkatkan amal. Buang segala jenis alasan. Ketahuilah, bahawa hanya orang yang terus ke depan, tanpa sebarang alasan akan berjaya. Moga kita semua tergolong dalam golongan orang yang berjaya. Insya'Allah. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment