Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Friday, 15 February 2013

Wakaf: Pelaburan yang Kekal

            Di dunia materialistik pada hari ini, semua orang berusaha mengejar kemewahan dunia. Kemewahan itu adalah kemuncak kebahagian. Justeru, duit, harta dan pangkat merupakan modal awal kepada kebahagiaan yang dicari. Setidak-tidaknya, itulah yang mereka fikirkan.

            Namun, ramai daripada kita lupa, kebahagiaan adalah kemuncak nikmat di hati. Tilam yang empuk tidak dapat ditukar dengan tidur yang lena. Sebaliknya, walaupun dengan beralas tikar yang lusuh, seseorang masih boleh mendapat kenikmatan dan kebahagiaan tidur yang lena. Mari kita renungi firman Allah swt dalam Surah al-Hadid, ayat 7, maksudnya:

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan infaqkanlah sebahagian harta yang Allah telah berikan kepadamu. Maka orang-orang yang beriman diantara kamu serta berinfaq, bagi mereka itu ada ganjaran yang besar.

            Janji Allah swt kepada orang-orang yang beriman, ganjaran yang besar bagi mereka yang berinfaq ke jalan Allah. Persoalannya, adakah infaq mesti bermodalkan harta? Apakah maksud harta dalam ayat tersebut?

            Harta, sebenarnya adalah simbolik kepada kekayaan. Kekayaan, tidak semestinya bersifat metarial. Orang miskin, akan merasai bahawa orang kaya itu berharta. Namun, pengertian itu nyata berbeza bagi seorang pesakit. Baginya, sihat adalah harta paling berharga. Begitu juga dengan orang yang sibuk, akan merasai masa adalah harta paling berharga.

            Justeru, infaq tidak semestinya memerlukan kekayaan. Ia sebenarnya, adalah dengan apa yang kita ada. Itulah ‘harta’ kita. Kerana ianya bernilai di sisi orang yang tiada. Sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw, sabdanya:

Setiap sendi ditubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah. Kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti dijalan adalah sedekah.                                                        (Riwayat Bukhari)

            Infaq harta, ada yang berbentuk ‘one-off’ dan ada yang berbentuk kekal. Kedua-duanya baik dan digalakkan, namun yang manakah pelaburan yang baik dan memberi keuntungan, walaupun setelah penginfaq mati? Jawapannya, sudah tentu infaq yang berbentuk kekal. Itu lah ia wakaf. Kerana, keuntungannya berkekalan dan berpanjangan, selagimana pengguna menggunakannya. Sabda Rasulullah saw:

Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara:  Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.                    (Riwayat Bukhari, Tarmizi & an-Nasa’i)

            Jika wakaf dengan harta kekayaan, tidak semestinya dengan jumlah yang besar. Kerana, ia menghilangkan peluang orang miskin untuk turut mendapat fadilat wakaf. Daripada wakaf yang berskala besar, seperti wakaf tanah untuk pembinaan masjid, sehinggalah sekecil-kecil wakaf, seperti mewakafkan bantal untuk kegunaan pelajar tidur, semuanya akan dinilai di sisi Allah swt. Asalkan pemberian tersebut diberi dengan penuh keikhlasan.

            Walaubagaimanapun, wakaf boleh juga dibuat dengan menyumbang idea, tenaga dan masa. Seperti menyumbang tenaga dan idea untuk mempromosikan institusi wakaf, atau pembinaan bilik aktiviti di sekolah, insya’Allah akan turut dinilai di sisi Allah swt.

            Ingatlah, dalam kesibukan membina mahligai kekayaan di dunia, mahligai di akhirat jangan dibiarkan roboh. Modal yang ada di dunia, jangan sekadar dilaburkan di dunia, kerana ianya akan hangus, apabila tuannya mati. Tapi, pelaburan akhirat, bersifat kekal abadi. Maka, ia adalah pelaburan yang bijak. Allah’alam.

Tuesday, 15 January 2013

Taman Rekreasi: Antara Nilai Islam dan Barat

            Aku ada seorang anak lelaki, berumur 3 tahun. Umur tersebut boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak. Aku selalu membawanya bermain di taman rekreasi. Di sana, aku mengharapkannya untuk belajar pelbagai nilai. Nilai kerjasama, persahabatan, menghormati orang tua, kreativiti dan lain-lain.

            Tidak dinafikan, banyak nilai yang boleh dipelajari daripada taman rekreasi. Sesuai dengan objektif ia dibina. Walau bagaimanapun, tidak semua nilai, baik untuk dipelajari oleh kanak-kanak. Kerana ada nilai yang diracuni dengan nilai-nilai Barat. Ia nampak biasa, tetapi memberi impak yang negatif kepada pembentukan nilai Islam. Contohnya, percampuran lelaki dan perempuan, pembuangan sampah merata-rata, aurat yang tidak ditutup dan lain-lain. Ia mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.

            Persekitaran adalah faktor yang sangat penting dalam pembentukan nilai. Lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Perlu difahami, kanak-kanak mempunyai pemikiran tanpa sedar (unconsciousness mind) yang terbuka luas. Sebarang perkara yang dirasai, dilihat, didengari dan dihidu dengan pancaindera akan diingatinya sehingga dewasa. Jika perkara tersebut tidak ditapis, ia boleh menjadi virus kepada akhlak kanak-kanak tersebut apabila mereka dewasa kelak. Tanggungjawab memastikan virus tersebut di’neutralize’ terletak di bahu ibu bapa secara langsung. Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah saw:

Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Jadi, apa yang perlu aku lakukan? Adakah dengan cara menghindari taman rekreasi adalah cara yang betul? Apakah yang akan Rasulullah saw lakukan jika baginda berada di tempatku?

            Aku tidak rasakan menghindari tempat begitu adalah cara yang betul. Kerana, Rasulullah saw sendiri, membesarkan anak-anaknya dalam suasana Jahiliyyah, tetapi masih mampu mendidik anaknya sehingga memiliki akhlak yang baik. Maka, benarlah Rasulullah saw, apabila baginda bersabda:

Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.

(Riwayat Bukhari)

            Baginda saw telah menunjukkan bukti bahawa tugas beliau untuk mendidik ummah bermula dengan mendidik keluarganya; isteri dan anak-anaknya. Maka, itulah jawapannya untukku. Aku memulakan misi membersihkan taman rekreasi untuk menjadi tempat pembentukan nilai bagi anakku. Berikut adalah antara langkah yang diambil:

·         Mengajar anakku untuk mengutip sampah setiap kali terjumpa sampah di taman.

·         Menghampiri remaja yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, duduk dan berbincang dengan mereka tentang kesan buruk kepada kehidupan masa depan mereka. Alhamdulillah, ada yang menerima, dan ada yang menganggapnya sebagai mengganggu ‘privasi.

·         Menegur remaja yang telah baligh supaya menutup aurat.

            Ayuh sahabatku, kita perlu bersatu. Jangan sekadar kita bercakap tentang mendidik masyarakat di masjid-masjid dan surau-surau. Kerana, ahli jemaah sudah tentu adalah orang yang baik. Sebaliknya, kita perlu lebih agresif, bergerak memasuki tempat-tempat tumpuan maksiat. Usaha yang kecil, boleh memberi kesan yang besar. Kita mungkin tidak dapat mengubah dunia, namun sekurang-kurangnya tanggungjawab kita pada agama Allah terlepas. Dan yang lebih penting, kita menyediakan tempat pembentukan nilai yang maksima untuk anak-anak kita. Demi generasi akan datang yang lebih bersifat Islami. Allah’alam.

Friday, 14 December 2012

Apa Ada Pada Rupa?

            Pada satu hari, aku ditanya oleh seorang pelajar perempuan, “Ustaz, kenapa ustaz putih? Macamana ustaz mengekalkan keputihan?” Aku terkejut dengan soalan tersebut. Tidak kusangka soalan seperti itu akan keluar dari mulut seorang pelajar, kepada diriku. Lalu, aku berfikir sendirian. Apa ada pada rupa?? Adakah rupa boleh membawa aku kepada iman? Atau menghanyutkan aku kepada kesesatan?

            Putih, hitam, cantik, hodoh, bijak, bodoh, Melayu, Cina, India, tinggi, rendah dan lain-lain. Itu semua adalah pakej yang diberikan Allah, percuma semenjak kelahiran lagi. Ia tidak diminta, tidak pula di’order’, samada oleh ibu bapa, atau anak yang akan lahir. Jadi, adakah ia memberi apa-apa manafaat kepada manusia? Jawapannya, sudah tentu tidak. Cuba fahami sabda Rasulullah saw:

Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu.

(Riwayat Muslim)

            Jelas daripada Hadis tersebut, Allah lebih mengutamakan hati dan amalan hamba-Nya, dan bukannya rupa paras dan kecantikan. Jika Allah memandang kepada rupa, maka ia membuktikan bahawa Allah itu tidak adil, kerana Dialah yang menjadikan, serta men’design’ rupa manusia. Namun, Allah itu Maha Adil. Oleh itu, Dia tidak melihat kepada rupa hamba-Nya, sebaliknya menghitung serta menilai hati dan amalan mereka.

            Kenalkah saudara dan saudari dengan Bilal bin Rabah? Bukan sahaja bergelar hamba, tetapi juga berkulit hitam. Rendah martabatnya disisi manusia, tetapi sangat dimuliakan oleh Rasulullah saw. Sehingga beliau dilantik menjadi muazzin yang pertama dalam sejarah Islam. Jasanya begitu dihargai, sehingga jawatan muazzin lebih dikenali sebagai bilal. Justeru, hebatnya Bilal kerana ketakwaannya. Maka, beliau dimuliakan kerana ketakwaan itu. Firman Allah swt dalam Surah al-Hujurat, ayat 13:

Sesungguhnya, manusia yang paling mulia disisi Allah adalah orang yang paling tinggi takwanya.

            Bagaimana pula dengan Luqman al-Hakim? Pernahkah saudara dan saudari membaca Surah Luqman? Hebatkah beliau sehingga namanya diukir dalam al-Quran? Siapakah beliau? Adakah beliau mempunyai rupa yang cantik? Para ‘ulama’ berselisih tentang keturunan beliau. Namun, secara ringkasnya, kebanyakan ‘ulama menyebut beliau sebagai seorang hamba berkulit hitam dan berasal dari Habsyi. Mari dengar firman Allah swt dalam Surah Luqman, ayat 12 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan.

            Kebijaksanaannya itu lah yang digunakan untuk memberi nasihat dan pandangan. Tingginya nilai nasihat tersebut, sehingga boleh memberi kesan kepada semua umat Islam pada hari ini. Serba-ringkas, tapi padat. Bahkan, lebih hebat daripada tesis Master dan PhD, serta keseluruhan kitab yang ada pada hari ini, kerana nasihat tersebut terbukti meningkatkan iman dan akhlak.

            Cuba bayangkan, jika rupa yang menjadi ukuran bagi baik atau buruknya seorang hamba Allah, maka apakah nasib Bilal dan Luqman? Adakah mereka bersalah kerana dilahirkan hitam? Tidak dipinta, tidak dicari, tapi diberi. Malanglah nasib mereka, jika itu yang menjadi ukurannya. Tapi, Maha Adilnya Allah, tidak melihat kepada semua itu, sebaliknya melihat kepada jasa dan sumbangannya kepada Islam.

            Oleh itu, apa yang ada pada rupa? Tiada apa-apa nilai, jika rupa tersebut menjauhkan tuannya dari iman dan hidayah. Sebaliknya, jika ia menyebabkan imannya semakin meningkat, maka itu adalah lebih baik. Seperti Nabi Yusuf as, yang diangkat martabatnya, daripada hamba, sehingga menjadi raja dan nabi. Berbalik kepada soalan pelajar tadi, dengan berseloroh aku menjawab, “mandi Clorox.” Allah’alam.

Friday, 30 November 2012

Inovasi dalam Islam



Kita selalu bercakap tentang kehebatan tamadun Islam pada zaman dahulu. Terutama pada zaman kegemilangan Islam Abbasiyyah. Dr Najm Abdul Rahman Khallaf dalam ceramahnya di USIM dua hari yang lepas, menceritakan tentang gerakan ilmu dan inovasi yang dimulai sejak dari zaman Rasul saw lagi. Dr Mustafa Khail dalam ceramahnya semalam pula menceritakan bagaimana Salman al-Farisi, apabila memberikan idea tentang kaedah baru dalam sistem pertempuran, iaitu menggali parit sebagai benteng pertahanan, beliau yang berketurunan Parsi menjadi rebutan semua golongan yang ada di Madinah ketika itu. Orang Ansar (Aus dan Khazraj) mendakwa bahawa Salman adalah dari kalangan mereka, manakala orang Muhajirin (Quraisy) pula mendakwa bahawa beliau adalah dari kalangan mereka. Lalu, akhirnya Nabi Muhammad saw, apabila mendengar perbalahan tersebut, terus bersabda: Salman min ahlil bait (Salman adalah dari kalangan ahlul bait - keluarga Nabi). Hebatnya para ilmuan terdahulu.

Antara inovasi yang pernah dihasilkan, ialah; astrolobe. Ia adalah satu alat yang digunakan dalam navigasi ketika pelayaran. Digunakan untuk tujuan menentukan arah tuju kapal. Mana arah utara, selatan, timur dan barat. Dicipta dalam tamadun Yunan, namun dimodifikasi oleh ulama Islam iaitu al-Fazari, sehingga akhirnya ia digunakan untuk tujuan penentuan arah kiblat dll.

Astrolobe

Selain itu, bagaimana falsafah Yunan yang menyebut tentang bumi itu bulat, diperdebatkan semula oleh ulama' Islam setelah lama dilupakan oleh masyarakat dunia ketika itu. Setelah melalui beberapa siri perdebatan, akhirnya, para ulama' menghasilkan peta dunia, antara yang paling lengkap pada zamannya. Peta dibuat dalam bentuk glob, juga dicipta oleh ulama' silam. Selain itu, ilmu al-Gebra oleh al-Khawarizmi, dimanafaatkan sepenuhnya untuk pengiraan longitud dan latitud untuk menentukan koordinasi seseorang di dunia.

Banyak lagi inovasi yang dilakukan mereka, yang kalau diperhatikan, semuanya dilakukan kerana pengabdian diri mereka kepada Allah. Setiap satu inovasi yang dibuat, sangat terperinci. Subhanallah. Kalau sarjana sekarang boleh mendapat PhD kerana membuat instrumen yang baik, maka kita patut malu dengan ulama' terdahulu kerana mereka jauh lebih hebat. Hebatnya mereka kerana kepelbagaian cabang yang mereka kuasai.

Pada hari ini, kita tidak mampu untuk lakukan sepertimana yang mereka lakukan. Dalam teori ekonomi, untuk mendapat duit yang banyak, maka ada dua cara, iaitu melalui kuantiti dan kualiti. Melalui kualiti, maka produk tersebut dapat dijual dengan harga yang mahal, lalu akan membuahkan duit yang banyak. Manakala, melalui kuantiti, produk yang dihasilkan mungkin biasa-biasa saja, dijual dengan harga yang murah, namun dalam kuantiti yang banyak, juga dapat membuahkan duit yang banyak. Perbezaan ini ibarat jualan ferrari dan proton.

Begitulah kita pada hari ini. Perbezaan yang ketara antara kita dan ulama' silam menyebabkan kita tidak dapat menghasilkan inovasi berkualiti sepertimana mereka. Namun, apa salahnya kita hasilkan sesuatu yang berada dalam keupayaan kita, namun dalam kuantiti yang banyak. Kuantiti yang banyak, perlukan banyak idea dan usaha. Ia bukan kerja perseorangan. Sebaliknya ia adalah kerja beramai-ramai.

Ayuh lah para pendokong Islam. Buatlah inovasi. Ia satu jihad menegakkan ketamadunan Islam. Dengan sedikit inovasi yang dihasilkan oleh setiap orang, maka dalam berkumpulan, apabila dikumpul, dengan kuantiti produk inovasi yang banyak, seterusnya akan menaikkan lagi martabat ketamadun Islam. Bukan sekadar bercerita, sebaliknya juga bertindak. Moga segala usaha kita diberkati Allah swt.

Monday, 19 November 2012

Derma untuk Palestin


Telah beberapa hari Palestin bergolak. Sekali lagi ia diserang oleh rejim Zionist, Israel laknatullah. Berada di Malaysia, sebuah negara yang aman, penuh dengan kenikmatan, tiada rasa ketakutan, adakah kita akan lupakan saudara kita di sana? Jika kita ingatkan mereka, apa yang boleh kita lakukan? Banyak...

Antaranya:

1) DOAKAN MEREKA, setiap kali teringatkan tentang mereka. Doa yang terbaik adalah Qunut Nazilah, seperti yang disebutkan dalam Sunnah. Bunyinya seperti berikut:

اللّهمّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا ، ونَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ
اللّهمّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمْ اليَهُودَ الغَاصِبِيْنَ المحُتَلِّيْنَ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُم. اللّهُمّ بَدِّدْ شَمْلَهُم وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، و شَتِّتْ كَلِمَتَهُم , خَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِم،  ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُم  , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يا قهار , يا جبار و يا مُنْتَقِمَ , اللهم أَنْزِلِ بِهِم بَأْسَكَ الَّذِيْ لايُرَدُّ عَنِ القَوْمِ المُجْرِمِين.
Erti :
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.

Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyankanlah mereka.

Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan kereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, wahai Allah tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dariMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa. 

2) DERMA UNTUK MEREKA. Terdapat beberapa NGO yang menfokuskan kepada gerakan menolong Palestin. Antaranya:
- Viva Palestina Malaysia: Maklumat lanjut, boleh klik disini http://www.vivapalestina-my.org/
   (Akaun Maybank: 5-64324-601324)

- Aman Palestin: Maklumat lanjut, boleh klik disini http://www.amanpalestin.net/
   (Akaun  Bank Islam: 12029010047880 | Maybank : 562263010787    
   | CIMB Islamic : 12150001242107 | Bank Muamalat :
     12070005133717

- Aqsa Syarif: Maklumat lanjut, boleh klik disini http://www.aqsasyarif.org.my/
   (Akaun Maybank Islamic 551575004299 atau
   Bank Islam 12092010034904

3) BOIKOT BARANGAN ISRAEL: seperti McD, Coca Cola, L'Oreal dll keran hasil keuntungan dari jualan mereka ini, digunakan untuk pembelian senjata bagi menyerang Palestin dan lain-lain.

Thursday, 19 July 2012

Puasa: Sedikit perbincangan hukum...


Ketibaan Ramadhan sentiasa dinanti oleh umat Islam. Kedatangan Ramadhan bermakna sampailah masanya bagi umat Islam melaksanakan salah satu daripada rukun Islam, iaitu puasa. Ia sesuai dengan matlamat hidup manusia, iaitu; mengabdikan diri kepada Allah dan mentadbir alam sesuai dengan kehendak dan syariat Allah. Bahkan Ramadhan sendiri yang bermaksud bulan yang panas, menurut Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, merupakan bulan penghapus dosa.

Hukum berpuasa bagi seorang Muslim adalah wajib. Ia adalah hukum yang maklum dikalangan semua orang Islam tanpa perlu dipelajari secara mendalam, sebagaimana ada kaedah yang menyebut, "perkara diketahui dalam bab agama tanpa perlu dipelajari." Kewajipan tersebut bersifat fardhu ain. Maksudnya, setiap individu diwajibkan berpuasa. Dan ia bukannya bersifat fardhu kifayah. Murtad bagi seseorang Muslim yang menginkari kewajipan puasa. Implikasinya, mayatnya tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan, tidak boleh dikebumikan di perkuburan Islam, tidak boleh diwarisi hartanya dan tidak boleh diperwariskan. Serta jatuh muamalat kepadanya sebagaimana muamalat seorang Muslim dengan seorang kafir.

Manakala, bagi seseorang yang tidak mengingkari puasa, sebaliknya tetap meninggalkan puasa, maka jatuh hukum baginya fasiq. Implikasinya, tidak boleh mengambil penyaksian baginya, samada sebagai wali nikah, wali zina dan lain-lain. Maka, wajib baginya untuk bertaubat kepada Allah swt.

Apabila kita membicarakan tentang manusia yang meninggalkan puasa, timbul persoalan, dimana dalam hadis disebutkan bahawa syaitan dibelenggu dalam bulan puasa, maka kenapa manusia masih membuat kejahatan dan kemungkaran? Sebenarnya, tentang syaitan yang dibelenggu tersebut, terdapat pelbagai penafsiran di kalangan 'ulama'. al-Qardhawi menyebut bahawa sebenarnya, maksud hadis tersebut adalah syaitan tidak mampu menguasai nafsu orang yang berpuasa. Ia ekoran nafus orang yang berpuasa berada pada tahap minima. Ada juga yang berpendapat bahawa hanya syaitan yang utama sahaj yang diikat. Sebaliknya, yang lain masih bebas menghasut manusia membuat kejahatan dan kemungkaran. Syeikh Atiyyah Saqar pula menyebut bahawa, sebenarnya, memang semua syaitan dibelenggu, namun kerana didikan syaitan selama 11 bulan berjaya menjadikan kejahatan dan kemungkaran itu satu tabiat menyebabkan walau syaitan diikat, maka manusia berterusan membuat kemungkaran walau di bulan puasa.

Walau apapun, pastikan supaya peluang dalam bulan Ramadhan ini dimanafaatkan. Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja. Antara peluang yang boleh diambil bagi para pelajar, adalah manafaat doa yang dimakbulkan terutama ketika hampir berbuka berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam sanadnya yang sahih serta hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam sanadnya yang hasan yang menyebut bahawa antara 3 golongan yang tidak akan ditolak doa mereka adalah doa orang yang berpuasa.

Hindarkan daripada perkara-perkara berikut:-

  • Mengutamakan solat sunnat Tarawih secara berjamaah, tetapi meninggalkan solat fardhu Isyak secara berjamaah.
  • Mengutamakan cepatnya untuk khatam al-Quran, tetapi meninggalkan usaha untuk tadabbur al-Quran.
  • Melambatkan solat fardhu Maghrib disebabkan oleh berbuka. Sedangkan seseorang sepatutnya menyegerakan solat fardhu Maghrib selepas berbuka puasa secara ringkas. Jika mahu sambung makan selepas solat fardhu Maghrib, silakan.
  • Mengutamakan sunnah berpakaian yang tidak disyariatkan ketika ke masjid seperti berjubah/berserban (bagi lelaki) dan bertelekung putih (bagi wanita), tetapi meninggalkan sunnah berpakaian yang disyariatkan seperti menutup aurat, tidak sombong, membazir, keterlaluan dan bertasyabbuh (meniru) kaum lain ketika berpakaian seharian.
  • Wanita mengutamakan untuk turut serta solat berjamaah di masjid, tetapi melupakan adab dan akhlaq ketika keluar rumah. Wanita boleh bersolat di masjid, tetapi jika boleh menimbulkan fitnah lebih elok dia solat di rumah sahaja.
  • Mengutamakan solat sunnat pada waktu sepertiga malam, tetapi meninggalkan solat Subuh secara berjamaah. Ini biasa terjadi pada seseorang akibat mengantuk.
  • Mengutamakan ibadah sunnat di surau atau masjid ketika waktu kerja, tetapi meninggalkan tanggungjawab dan amanah majikan di tempat kerja.
  • Dan lain-lain lagi.

Saturday, 16 June 2012

Isra' Mikraj: Perjalanan Agung...



Isra' dan Mikraj adalah satu perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah saw. Isra bermaksud, perjalanan antara Mekah dan Baitul Maqdis di Palestin. Mikraj pula ialah perjalanan antara Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha. Tiada sesiapa yang mengetahui tarikh sebenar berlakunya Isra dan Mikraj. Para 'ulama' sendiri berselisih pendapat tentang tarikh sebenar berlakunya peristiwa agung itu (baca disini). Namun, mereka sepakat bahawa peristiwa itu berlaku sebelum Hijrah Rasul ke Madinah al-Munawwarah.

Terdapat beberapa perkara yang kita boleh renungkan bersempena peristiwa ini. Disini, saya senaraikan empat. Pertama, berkenaan dengan kehebatan Allah swt dengan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya, Dia membenarkan hamba-Nya iaitu Rasul untuk datang bertemu-Nya tanpa persiapan dan tanpa alatan yang canggih. Di zaman tersebut, perjalanan ke Palestin sahaja mengambil masa berbulan-bulan. Ini kan pula perjalanan ke langit. Ia adalah mustahil bagi masyarakat ketika itu. Sedangkan di zaman yang serba canggih ini juga, Sheikh Muzaffar, apabila dihantar oleh Kerajaan Malaysia, mengambil masa selama setahun untuk persiapan menghadapi keadaan di atas sana. Duit dihabiskan sebanyak jutaan ringgit. Namun, apa yang dilalui oleh Rasul, seolah-olah ia adalah sebuah perjalanan harian. Begitu lah hebatnya Allah yang membenarkan perjalanan ini. Buraq yang menjadi tunggangan Rasul itu hebat, Penciptanya pasti lebih hebat. Itu lah Allah swt.

Kedua, peristiwa ini juga dijadikan sebagai ujian kepada umat Islam ketika itu. Dengan kekurangan iman, dan dikelilingi oleh pandangan-pandangan yang negatif daripada musuh-musuh Islam, ramai dikalangan umat Islam yang murtad apabila mendengar tentang peristiwa Isra' dan Mikraj itu. Tidak ramai yang tetap dengan iman dan mempercayai peristiwa tersebut. Maka benarlah gelaran yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Abu Bakr sebagai as-Siddiq (yang membenarkan) apabila beliau memberikan respon yang sangat positif tentang peristiwa ini apabila dikhabarkan kepadanya oleh golongan Musyrikin, "jika Muhammad mengatakan bahawa dia pergi lebih jauh jua, aku pasti akan percaya."

Ketiga, betapa besarnya perintah solat sehingga ia perlu diterima oleh Rasulullah saw secara terus dan bukannya melalui wahyu yang diturunkan melalui wasilah Jibril seperti biasa. Di hari ini, betapa ramai di kalangan kita yang tidak mengendahkan solat. Bagaimana umat Islam hendak berjaya apabila solat tidak diendahkan. Dalam azan, adanya kalimah "hayya 'alassolah, hayya 'alal falah (marilah mengerjakan solat, marilah menuju kejayaan)." Begitu juga dalam Surah al-Mukminun, Allah swt berfirman, mafhumnya, "Berjayalah orang-orang Mukmin yang dalam solat mereka, mereka khusyu'." Disebutkan oleh beberapa 'ulama, antaranya Dr Zulkifli al-Bakri bahawa, sekurang-kurang khusyu' itu adalah tahu perbuatan dalam solat yang sedang dilakukan pelakunya dan pelakunya ingat dia sedang berada di rakaat yang keberapa.

Keempat, dalam perisitwa mikraj juga, baginda saw melalui perjalanan ke Syurga dan Neraka. Di neraka, baginda dibawa melihat azab-azab yang menimpa penduduk neraka, antaranya pemakan riba', pemakan harta anak yatim dan penzina. Golongan penzina tersebut, diberi makan antara daging yang busuk dan elok, namun mereka memilih daging yang busuk dan ditinggalkan daging yang elok. Golongan wanita dari kalangan penzina juga digantung payudara merekadi neraka. Na'uzubillah min zalik.

Banyak lagi ibrah atau faedah yang boleh kita dapat daripada peristiwa ini. Bagi pelajar, baca lah buku-buku berkenaan dengan perisitwa ini. Buku seperti Rahiq al-Makhtum dan buku-buku Fiqh as-Sirah adalah antara buku yang baik untuk dibaca. Moga kita semua mengambil iktibar daripada peristiwa yang agung ini. Selamat menambah iman. Wallahu'alam.

Monday, 23 April 2012

Syahadah: Bukti kecintaan kita kepada Allah

Kalimah syahadah, dilihat sebagai satu kalimah yang mudah disebut oleh Umat Islam. Di Malaysia, bukan sahaja Umat Islam, bahkan terdapat juga orang bukan Islam yang turut boleh menyebut Kalimah Syahadah. Walau dalam pelat masing-masing, Cina dengan pelatnya, India dengan pelatnya dan lain-lain. Lebih-lebih lagi selepas rakaman nasyid yang mempopularkan Raihan satu ketika dulu diterbitkan.

Namun, ramai yang kurang memahami maksud di sebalik kalimah agung tersebut. Ia sebenarnya adalah kalimah yang menyaksikan kecintaan hamba kepada Allah Yang Satu. Tidak seperti kalimah "I love you" atau "Woaini" atau "Ana uhibbuk," kalimah ini berbunyi "Lailahaillallah" yang bermaksud "tiada tuhan yang disembah melainkan Allah."

Terkandung di sebalik kalimah ini, pengumpulan semua ilah (tuhan) yang ada di dunia, seperti yang disebutkan dalam al-Quran, seperti:-
 - berhala, cth: al-Latta, al-Uzza dan al-Manat,
 - manusia, cth: Firaun,
 - asy-Syam (matahari), al-Qamar (bulan) dan an-Nujum (bintang) seperti yang dianalisis oleh Nabi Ibrahim as sebagai makhluk yang mempunyai kuasa, jasa dan sumbangan yang besar kepada kehidupan manusia sehingga boleh dikategorikan sebagai tuhan,
 - api, cth: agama Majusi dll.
Namun, sifat ketuhanan semua makhluk itu dinafikan oleh Allah dalam kalimah syahadat dan meninggalkan Allah sebagai satu-satunya yang berhak disembah.

Dalam kehidupan seharian, Umat Islam diseru supaya mengagungkan Allah sebagai tuhan. Dalam azan, wudhu', solat dan ibadat-ibadat lain, kita diseru untuk sentiasa memperbaharui syahadah. Moga kita semua mati dalam syahadah yang sebenar. Allah'alam.

Wednesday, 11 April 2012

Azab Allah swt: Hindarilah ia..



Pada pukul 4.30 petang tadi, berlakunya gempa bumi. Ekoran itu, ada amaran tsunami dikeluarkan. Peristiwa yang dasyat seperti ini bukan sekali berlaku, bahkan ia pernah berlaku banyak kali sebelum ini. Mungkin ini antara azab yang diturunkan oleh Allah swt untuk hamba-Nya.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauzi, terdapat 2 jenis azab diturunkan oleh Allah swt, iaitu; azab tadmir dan azab tazkir. Azab tadmir, diturunkan Allah swt untuk membinasakan. Seperti yang berlaku kepada umat-umat sebelum kedatangan Rasulullah saw, seperti persitiwa bah besar, ancaman dari tentera Allah berbentuk binatang seperti katak, belalang dll dan banyak lagi azab. Azab ini diturunkan, tiada lagi penyelesalan dan keinsafan diterima daripada mangsanya. Ia memang menghukum. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana tidak diturunkan azab ini kepada kita. Ribuan terima kasih kepada Rasulullah saw yang telah berdoa kepada Allah swt untuk tidak menurunkan azab seperti ini kepada kita.

Azab yang kedua, iaitu azab tazkir, diturunkan oleh Allah swt untuk memperingatkan manusia. Ini lah azab yang sentiasa menimpa kita, walau dalam apa jua skala; kecil, sederhana atau besar. Ia mungkin memberi peringatan kepada mangsa azab, mungkin juga kepada orang yang menyaksikan azab tersebut.

Biasanya, apabila azab sebegini tertimpa ke atas sesetengah bangsa atau tempat, manusia akan bercakap, apakah dosa yang mereka lakukan. Ya!! Dosa yang mereka lakukan itu, tidak kurang pentingnya untuk kita bicarakan supaya kita dapat menghindari dosa yang serupa. Namun, adalah lebih penting untuk kita sendiri menghisab diri kita, untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan yang kita lakukan, yang dimaklumi melanggar syariat Allah swt. Takut-takut, kita juga akan ditimpa azab tazkir.

Moga kita semua terhindar daripada dosa kepada Allah, dan diberi syafaat oleh Rasulullah swt di akhirat, serta dapat melintasi titian sirat dengan kepantasan seperti kilat. Allah'alam.

Thursday, 29 March 2012

Masa: Adakah ia digunakan dengan baik?



Lama rasanya saya tidak menulis di blog ini. Kekangan waktu, komitmen dan kerja mendorong saya untuk sedikit memilih, mana antara kerja, yang lebih utama berbanding kerja lain yang tidak kurang utamanya.

Masa!! Ia sangat penting. Sehingga Allah swt beberapa kali bersumpah dengan masa. Antaranya al-'asr, adh-dhuha dll. Saat kematian juga, disebutkan oleh Allah, apabila sampai masanya tiba, tidak akan lambat walau sesaat dan tidak akan cepat walau sesaat. Pepatah Arab juga ada menyebut, masa, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita. Kesemua ini menunjukkan kepentingan masa.

Semua orang diberikan masa oleh Allah. Masa yang diberikan, semuanya sama. Tiada yang kurang dan tiada yang lebih. 24 jam sehari. 7 hari seminggu. 30 hari sebulan. Namun, bagaimanakah kita memanafaatkan masa? Adakah ia dihabiskan untuk perkara yang bermanafaat? Atau ia digunakan untuk perkara yang sia-sia? Maka beruntunglah kita jika ia dihabiskan dengan perkara yang manafaat. Hanya Allah yang dapat menilai segala kebaikan yang kita lakukan.

Para 'ulama, apabila membahaskan tentang keutamaan, mereka membahagikan keutamaan itu kepada 3, iaitu; ad-daruriyyat, al-hajiyyat dan at-tahsiniyyat. ad-Doruriyyat, adalah perkara yang sangat penting, yang tidak mampu manusia hidup tanpanya. Contohnya, makan, minum, pakai dan tempat tinggal. al-Hajiyyat pula ialah perkara yang dibuat oleh manusia untuk menghilangkan kesusahan. al-Tahsiniyyat pula ialah kemewahan. Apabila dibahaskan lebih perinci, maka ada 9 jenis keutamaan. Namun, cukup disebutkan disini 3 yang paling utama disini.

Ramai manusia, apabila menggunakan masa, membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Masalah yang paling besar, ialah salahanggapan terhadap penggunaan masa. Yang tidak penting, dikatakan penting, sebaliknya yang penting dikatakan tidak penting. Jika ianya tidak melanggar syariat, maka tiada masalah. Namun, yang menjadi kebimbangan, jika ia memberi saham kepada kemasukan kita kepada neraka. Na'uzubillah.

Moga segala masa yang kita habiskan membawa kita semua ke syurga Allah swt. Amin.

Wednesday, 7 March 2012

Dakwah: Bukan hanya untuk orang-orang baik..

Umat Islam diiktiraf sebagai sebaik-baik umat. Namun, Allah swt, apabila menyebut tentang pengiktirafan ini, meletakkan 3 syarat yang perlu dipenuhi, iaitu; menyuruh kepada kebaikan, mencegah kepada kemungkaran dan beriman kepada Allah.

Menyuruh kepada kebaikan adalah perkara yang susah. Namun, ia tidak sesusah mencegah kemungkaran. Kerana, untuk menyuruh kepada kebaikan, mad'u berada dimana-mana. Di keliling kita. Apabila seruan azan berkumandang, kita mengajak manusia lain disisi kita, samada di alam fizikal atau di alam maya, untuk menunaikan solat. Begitu juga dalam bab-bab yang lain seperti sedekah, buat baik kepada ibu bapa dan lain-lain.

Yang lebih susah, adalah mencegah kemungkaran. Kerana ianya susah, maka baginda saw bersabda, bahawa mencegah kemungkaran itu, ada 3 peringkat, iaitu; mencegah dengan tangan, lidah dan hati. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman. Dan yang mengakumkan kita, hatta mencegah dengan hati, dengan membenci perbuatan yang dibuat oleh pelaku, yang tidak menepati syarak, juga dikira sebagai mencegah kepada kemungkaran. Tidak mencegah orang lain, sebaliknya kebencian yang timbul itu, mencegah diri sendiri daripada melakukan perbuatan yang sama itu.

Mencegah kemungkaran, perlu kepada seseorang untuk melihat kepada sesuatu yang mungkar terlebih dahulu. Tidak dinamakan mencegah kemungkaran, jika seseorang itu berceramah di masjid, di majlis-majlis ilmu dan di tempat-tempat yang baik. Sebaliknya, ia dinamakan menyuruh kepada kebaikan. Namun, maksud mencegah kemungkaran itu tidak tercapai dalam konteks yang segera.

Atas dasar ini, maka Ikhwan al-Muslimin, di bawah pimpinan Hasan al-Banna, satu ketika dulu, mengambil inisiatif untuk tidak sekadar menyuruh kepada kebaikan, di tempat-tempat yang baik, sebaliknya memasuki premis-premis maksiat, seperti disko, pub, kelab malam dan sebagainya, untuk mencegah kepada kemungkaran.

Pada hari ini, dakwah seperti ini lah yang perlu sebahagian daripada kita lakukan. Bukan sekadar mendekati orang yang ingin berubah, namun juga orang yang mungkin akan berubah. Menggunakan orang yang pandai bermain gitar seperti Sham, untuk mendekati orang-orang yang suka bermain gitar kepada Islam. Menggunakan orang yang pandai mengarah filem seperti Bob Lukman untuk memandu mereka yang seangkatan dengannya untuk turut mendekati Islam. Dan sebagainya.

Islam tidak mementingkan hasil. Yang Islam pentingkan adalah usaha. Mungkin tidak ramai yang berubah. Namun, saya yakin, dengan izin Allah, akan ada yang akan berubah. Moga usaha kita mendapat keberkatan daripada Allah swt. Wallahu'alam.

Sunday, 4 March 2012

Mulakan hari anda dengan sunnah yang mudah..


Beriman kepada rasul itu, wajib. Ia salah satu daripada 6 rukun iman. Ini menunjukkan, jika menolak kepercayaan kepada rasul, atau menolak kepercayaan kepada salah seorang kepada rasul, atau menolak sebahagian daripada ajaran rasul, maka iman seseorang itu akan tertolak. Itu lah yang terjadi kepada kaum Yahudi dan Kristian, menolak kepercayaan kepada Nabi Muhammad saw, walaupun masih mempercayai nabi-nabi yang lain. Itu lah juga yang terjadi kepada kaum yang murtad serta kaum yang tidak ingin membayar zakat, selepas kewafatan baginda saw, sehingga mereka diperangi oleh Abu Bakar as-Siddiq ra.

Rasul diutuskan oleh Allah kepada manusia, kerana banyak tujuan, antaranya; untuk menjadi contoh tauladan untuk amalan manusia, dalam setiap genap kehidupan. Itu lah juga antara hikmah rasul dilantik oleh Allah swt dari kalangan manusia, dan bukannya jin, atau malaikat. Kerana malaikat, jika mereka dilantik menjadi rasul, nescaya manusia tidak akan mampu untuk mencontohi mereka, kerana amalan dan ibadah mereka yang hebat. Namun, itu semua kerana sifat mereka yang berbeza dengan manusia, tidak makan, tidak minum, tidak tidur, tiada nafsu, tidak berkahwin dan sebagainya.

Amalan junjungan nabi kita, Rasulullah saw, dikumpulkan dalam bentuk hadis, ditulis dalam banyak kitab, antaranya Sunan Sittah dan kitab-kitab hadis yang lain. Ada yang dinilai sahih, hasan, dhoif, maudhu' dan lain-lain. Yang sahih dan hasan sahaja, jika ingin diamalkan, mempunyai beribu-ribu hadis, yang mungkin tidak mampu bagi kita sebagai manusia biasa untuk mengetahui kesemuanya. Dan tidak mungkin juga bagi kita mengamalkannya. Lebih-lebih lagi di zaman fitnah, keinginan dan kesibukan mengejar dunia dan kelemahan iman kita ini. Sedangkan amalan atau sunnah Rasul itu, jika diamalkan, akan diberikan seribu satu rahmat, pahala, menunjukkan kecintaan kepada baginda saw, dan yang lebih besar, syafaat daripada baginda saw sendiri di akhirat kelak.

Namun, ada sunnah-sunnah yang ringkas, yang boleh diamalkan oleh kita. Amalan-amalan yang sentiasa diamalkan oleh kita setiap hari, namun ianya dibazirkan tanpa kita sedari. Sedangkan jika diniatkan ia kerana cinta Rasul dan mengikut sunnah baginda saw, maka kita akan mendapat pahala kerana mengikut sunnahnya saw. Contohnya, amalan siwak (gosok gigi), mandi, memulakan setiap perbuatan dengan belah kanan dan sebagainya. Setiap pagi, bangun pagi, mandi, niat kerana mengikut sunnah rasul. Gosok gigi, niat kerana sunnah rasul. Mulakan mandi dengan menjirus air di sebelah kanan. Mulakan gosok gigi di sebelah kanan. Begitu juga dengan memakai baju, sikat rambut, memakai selipar atau kasut, memulakan perjalanan keluar dari rumah dan lain-lain. Mulakan semua amalan dengan belah kanan dengan niat kecintaan kepada rasul. Ini lah sunnah yang ringkas, yang telah banyak kita bazirkan, sedangkan ia dibuat setiap hari.

Ayuh para sahabat. Kita rancakkan lagi sunnah rasul dalam amalan seharian kita. Di pagi yang indah ini, berapa banyak sunnah rasul yang dapat kita amalkan. Hanya tukar perkara yang harus, dengan niat, menjadikan ianya sunnah. Moga-moga kita semua dirahmati oleh Allah dan disayangi dan diingati oleh baginda saw di akhirat kelak. Wallahu'alam.

Monday, 27 February 2012

Mengajar: Bolehkah minta bayaran??

PENCIPTAAN MANUSIA di dunia ini, kerana 2 tujuan, iaitu; khalifatullah dan ibadatullah. Kedua-dua tujuan ini, dinisbahkan kepada Allah swt. Maksudnya, Allah adalah tujuan terakhir penciptaan manusia. Kerana itu, apapun yang dilakukan di dunia ini, biarlah mencari redha Allah.

Mencari redha Allah, bukan sesuatu yang mudah. Ia tidak semudah mencari redha manusia. Namun, ia wajib dikejar, kerana ia satu-satunya bekalan dan pemangkin kepada kurniaan jannah kepada manusia. Dan tidak dilupakan, nikmat yang terbesar, iaitu melihat Allah swt.

Dalam mencari redha Allah, pelbagai dugaan, ujian, fitnah dan halangan akan menimpa. Ia datang dengan pelbagai bentuk. Harta, pangkat, wanita dan ingin dikenali adalah antara ujian dan fitnah yang biasa disebut dalam al-Quran. Dan ramai yang terkandas dek kerana penangan ujian tersebut.

Tidak ketinggalan kepada golongan pendakwah, penasyid dan lain-lain, mereka turut diberikan ujian dan fitnah tersebut. Meletakkan harga yang mahal untuk setiap undangan daripada orang yang ingin mendapat ilmu dan penerangan daripada mereka.

Para 'ulama pernah membahaskan tentang meletakkan harga untuk setiap pengajaran al-Quran, adakah ia harus atau haram. Sesetengah berpendapat ianya haram, kerana mengajar al-Quran itu hukumnya fardhu kifayah. Manakala, sesetengahnya berpendapat ianya harus kerana mengenangkan ianya memakan masa dan tenaga yang boleh menyebabkan si pengajar tadi tidak dapat membuat pekerjaan lain, selain mengajar al-Quran, sedangkan dia mempunyai keluarga untuk diberikan nafkah. Sesetengahnya berpendapat tidak boleh meletakkan harga untuk pengajaran tersebut, namun jika diberikan, si pengajar harus menerimanya.

Daripada perbahasan mengenai pengajaran al-Quran ini, dapat disimpulkan bahawa tidak salah untuk meletakkan harga dalam setiap pengajaran. Seperti guru, pensyarah, penceramah dan lain-lain. Namun, jika diletak harga yang melampau, maka dibimbangi, hikmah pengajaran itu akan hilang.

Ketahuilah, bahawa sesuatu perkongsian ilmu itu, bukan semata-mata menjadi mata pencarian di dunia, tetapi juga mencari mata pencarian untuk kehidupan akhirat. Tidak salah mengejar saham dunia, tetapi yang lebih perlu dikejar adalah saham akhirat. Itu adalah antara tugas manusia sebagai khalifatullah dan ibadatullah. Moga kita semua dijauhi daripada kesemua fitnah ini. Na'uzubillah.

Saturday, 18 February 2012

Dosa: Layakkah kita diampunkan Allah?

















KESALAHAN adalah satu sifat harus bagi manusia. Semua manusia melakukan kesalahan. Hatta Rasulullah saw, walau dilantik menjadi Nabi, utusan Allah swt, masih melakukan kesalahan.

Dalam al-Quran, 'ulama menyenaraikan, sekurang-kurangnya terdapat 11 teguran oleh Allah swt kepada baginda saw atas kesalahan yang dilakukannya. Hal ini kerana, baginda saw juga adalah manusia biasa dan tidak terlepas daripada sifat harus manusia, antaranya melakukan kesalahan. Namun, kesalahan baginda saw, tidak dikira disisi Allah swt, kerana sifat maksumnya baginda, terpelihara daripada sebarang dosa.

Apabila difikirkan, kenapa baginda saw dikurniakan oleh Allah dengan sifat maksum? Kenapa manusia biasa seperti kita tidak diberikan sifat maksum? Hatta, para sahabat yang dekat dengan baginda saw juga tidak dikurniakan sifat maksum. Kenapa?

Jawapannya dapat dilihat daripada amalan yang dilakukan baginda saw. Layakkah kita sebagai manusia untuk dibandingkan dengan diri baginda saw? Dari sudut amalan, taubat, zikir dan ibadah yang dilakukan baginda saw? Tanpa sebarang rasa penat, jemu, keluhan dan penyesalan. Itulah istimewanya baginda saw.

Disuruh solat fardhu, kita katakan sibuk. Disuruh puasa, dikatakan penat. Disuruh zakat dan sedekah, dikatakan tidak ada rezeki yang mencukupi. Na'uzubillahi min zalik. Sedangkan baginda saw adalah manusia yang paling sibuk. Baginda solat di awal waktu. Baginda solat dengan penuh kekhusyukan. Baginda solat dengan menunjukkan sepenuh pengabdian diri kepada Allah swt. Begitu juga dalam ibadah-ibadah yang lain.

Jauhnya beza antara kita dengan Rasulullah saw. Marilah wahai sahabat. Kita bermuhasabah. Tingkatkan amal. Buang segala jenis alasan. Ketahuilah, bahawa hanya orang yang terus ke depan, tanpa sebarang alasan akan berjaya. Moga kita semua tergolong dalam golongan orang yang berjaya. Insya'Allah. Wallahu'alam.

Tuesday, 14 February 2012

Solat























SOLAT, adalah antara cara manusia mengabdikan diri kepada Allah swt. Ia penting kepada manusia sebagai hamba, kerana ia menghubungkan manusia dengan penciptanya. Ia juga adalah ibadah pertama yang dihisab di hari akhirat.

Melalui solat, manusia boleh berjaya. Melaluinya juga, manusia boleh dicelakakan. Kata kuncinya adalah khusyu'. Jika manusia bersolat dengan khusyu', maka mereka akan berjaya. Sebaliknya, jika mereka bersolat dalam keadaan yang lalai, maka kecelakaan menanti mereka.



Belajar 13 rukun solat (atau sesetengah pendapat mengatakan 17 rukun), boleh dinilai oleh manusia dari segi praktis, bacaan dan hafazan. Ia zahir di mata dan pancaindera manusia. Namun, di sisi Allah, bukan itu yang dinilai. Kerana, solat dilaksanakan dengan kemampuan. Kerana itu, ada rukhsah (kemudahan), sepertimana ajaran Rasulullah saw, mengajarkan Solat Qasar ketika musafir, Solat Jama' ketika masyaqqah (kesusahan) dan kaedah solat ketika sakit bagi orang yang kekurangan keupayaan.


Yang lebih utama bagi Allah, adalah hati. Dengan menjaga hati, manusia boleh solat dengan khusyu'. Sebaliknya, jika hati tidak dijaga, kekhusyukan solat tidak dapat dijaga. Itu yang berlaku kepada kebanyakan kita. Sehingga, solat yang dilaksanakan tidak dapat mencegah yang keji dan mungkar. Walaupun ia dilaksanakan cukup 5 kali sehari semalam.


Khusyu' itu sangat mahal. Ia sangat sukar diperolehi. Oleh itu, ulama' menggariskan beberapa tip untuk mendapatkannya, antaranya; jaga kebersihan tempat solat, berpakaian bersih, serta menumpukan fikiran hanya kepada Allah.


Mari sama-sama kita bermuhasabah wahai sahabat. Berapa jam kita habiskan untuk kehidupan dunia. Berapa banyak pula masa kita habiskan untuk kehidupan akhirat?


Dalam kesibukan kita bekerja, luangkan sedikit masa untuk akhirat. Kurangkan bercakap yang sia-sia sebagai persediaan solat. Banyakkan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi saw. Putuskan rantaian hati kita buat seketika dengan kehidupan dunia. Insya'Allah kita akan mendapat khusyu'. Percayalah wahai sahabat, hanya orang yang mendapat khusyu', akan merasai kemanisan iman dan ibadah kepada Allah swt. Moga kita semua dikurniakan Allah nikmat khusyu' dalam solat. Wallahu'alam.

Friday, 3 February 2012

Maulidur Rasul












Maulidur Rasul bermaksud kelahiran Rasulullah saw. Sebenarnya para ulama' berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar kelahiran baginda saw, sebagaimana berbeza pendapat di kalangan ulama' mengenai umur sebenar baginda. Namun, itu semua tidak penting. Yang penting bagi umat Islam, adalah untuk berterus-terusan istiqamah dalam agama Islam, ajaran yang diperintahkan oleh Allah swt untuk diajarkan kepada kita melalui utusan-Nya, Muhammad saw.

Baginda saw adalah contoh ikutan yang terbaik. Seluruh kehidupan baginda menjadi panduan bagi manusia untuk diikuti dari pelbagai sudut, samada pendidikan, keibubapaan, pemimpin, penjagaan kesihatan, agama dan lain-lain.

Kehidupan baginda dikenali sebagai Sunnah. Ada sifat baginda yang dibuat kerana sifat harus bagi seorang manusia, contohnya makan dan minum. Ada juga sifat baginda yang dilakukan kerana kebudayaan ketika itu, contohnya memakai jubah dan serban. Ada juga sifat baginda yang dilakukan sebagai tunjuk cara ibadah. Apapun sifat baginda, bagi umat Islam, jika mengikut semua sifat tersebut, maka ia termasuk dalam Sunnah Za'idah (Sunnah Tambahan), iaitu Sunnah yang dilakukan bukan kerana sifat harus manusia biasa, bukan kerana kebudayaan, sebaliknya sebagai tanda kecintaan kepada baginda saw.

Pernah seorang sahabat, tidak mengikut baginda berperang dalam Perang Uhud kerana jarak yang terlalu jauh. Dalam perang tersebut, baginda kehilangan sebatang gigi. Terdengar berita tersebut, kerana kecintaan kepada baginda, beliau sanggup mematahkan giginya sendiri. Apabila ditanya oleh sahabat yang lain, kenapa dilakukan sedemikian, beliau menjawab, "bagi merasai kesakitan sepertimana yang dirasai oleh baginda saw." Begitu lah cintanya para sahabat kepada Rasulullah saw.

Sebagai umat Islam, untuk tunjukkan kecintaan kita kepada baginda, bukanlah dengan melalu berarak, terpekik melolong di jalan raya dan mengganggu golongan yang bukan Islam, sebaliknya caranya adalah dengan mencontohi sikap dan perjalanan hidup baginda saw secara keseluruhan. Buat segala suruhan dan tinggal segala larangan.

Perbanyakkan selawat ke atas baginda kerana Allah juga berselawat ke atas Nabi Muhammad saw. Moga kita semua mendapat syafaat daripada Rasulullah saw di akhirat nanti.

Sunday, 29 January 2012

Kaifiat Ibadah




KAIFIAT IBADAH adalah hak eksklusif Allah swt. Ia diterjemahkan dalam kehidupan manusia melalui ajaran Nabi Muhammad saw. Tiada manusia atau makhluk lain yang layak mereka-reka cara beribadah. Walau pada pemikiran mereka, itu adalah baik. Ia mungkin tidak baik di sisi Allah swt.

Ulama' usul al-fiqh meletakkan kaedah, asal hukum bagi ibadah adalah haram, sehingga ada nas samada daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menukarkan hukum tersebut. Solat itu haram hukumnya, sehingga ada nas daripada al-Quran melalui suruhan-Nya yang menukar hukum tersebut kepada wajib. Begitu juga haji, puasa dan lain-lain.

Terdapat ibadah yang nampak baik, namun menjadi khilaf di kalangan para ulama', samada ia sunat atau haram. Contohnya, membaca Yasin di malam Jumaat, membaca qunut dalam Solat Subuh, membaca al-Ma'thurat secara keseluruhan dan lain-lain. Saya tidak berhajat untuk menceritakan perbahasan yang panjang lebar dan tidak berkesudahan di kalangan ulama' tentang hal-hal ini. Yang pasti, setiap ulama' berpegang dengan sesuatu perkara itu dengan ilmunya, dan bukan taqlid buta. Hanya Allah yang dapat menilai pahala di sebalik ijtihad yang mereka lakukan.

Namun, saya ingin menarik perhatian para sahabat. Menjadi keutamaan kita sebagai orang awam untuk menghilangkan khilaf ini. Saya suka menyebut kaedah yang dikongsi oleh al-Qardhawi dalam mengamalkan perkara-perkara khilaf seperti ini. Contohnya, membaca al-Ma'thurat. Beliau mencadangkan bacaan al-Ma'thurat itu dilakukan dengan bacaan yang pelbagai dengan sengaja. Contohnya, dibaca secara keseluruhan pada satu ketika, dibaca separuh pada ketika yang lain dan dibaca pada kadar yang lain pada waktu yang lain.

Begitu juga dengan amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat. Dibaca Yasin pada malam Jumaat, pada minggu berikut, dibaca separuh daripada Yasin, kadang-kadang diselang-selikan dengan bacaan daripada surah yang lain daripada al-Quran dan sebagainya. Yang pasti, Surah al-Kahfi itu disebutkan dalam hadis.

Berbeza dengan yang khilaf, ada yang qat'i dalam beribadah. Yang wajib itu tetap wajib. Yang sunat sebagai tambahan. Utamakan yang wajib, hiasi dengan yang sunat. Jangan terlalu utamakan yang sunat sehingga ditinggalkan yang wajib.Tidak penting kuantiti, yang penting adalah kualiti. Moga Allah swt memandang segala ibadah kita, tidak kira yang sedikit atau yang besar. Wallahu'alam.

Thursday, 26 January 2012

Reward dan Punishment dalam Islam

















Ahli psikologi menyebut, terdapat 2 cara dalam memberikan motivasi, iaitu; reward dan punishment. Apabila dihuraikan, 2 cara tersebut dibahagikan kepada 2 lagi, menjadikan ia kepada 4 bahagian, secara ringkasnya positif dan negatif.

Positive reward ialah memberikan sesuatu ganjaran yang disukai oleh orang yang ingin dimotivasikan. Negative reward pula bermaksud menghilangkan dendaan yang patut dikenakan. Positive punishment pula ialah mendenda orang yang ingin dimotivasikan jika tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat, manakala negative punishment pula ialah menarik semula ganjaran yang telah diberikan kepada orang yang ingin dimotivasikan.

Dalam Islam, Allah swt telah lama melaksanakan kaedah tersebut, iaitu melalui pemberian pahala dan dosa. Manusia digesa membuat seribu jenis kebaikan untuk mengumpul pahala, dengan tujuan untuk mendapat reward di hari akhirat, iaitu jannah (syurga). Manakala, dosa pula dihindari supaya terlepas daripada punishment di akhirat, iaitu jahannam (neraka).

Dosa dan pahala, bukanlah penentu akhir arah tuju manusia di akhirat. Mengambil iktibar daripada kisah seorang 'abid yang menghabiskan seluruh masanya untuk beribadat kepada Allah, mengumpul pahala dalam seluruh hayat kehidupannya, namun akhirnya Allah putuskan supaya dia masuk ke neraka, hanya kerana pahala yang dikumpul belum mampu untuk membayar seribu satu kenikmatan yang Allah telah berikan sebagai kemudahannya di dunia.

Sebaliknya, apa yang berlaku kepada seorang pembunuh, yang membunuh 100 lelaki, apabila ditanya tentang pintu taubat, jika ia masih terbuka buatnya, akhirnya dimasukkan ke dalam syurga, walau belum pernah membuat sebarang amalan, kerana niatnya untuk berhjijrah dan bertaubat kepada Allah swt.

Kedua-dua kisah ini jelas menunjukkan bahawa yang menentukan segala-galanya adalah Allah swt dengan sifat rahmat belas kasihan-Nya dan kasih-sayang-Nya. Namun, persoalannya, adakah berdasarkan kepada kedua kisah ini, manusia tidak perlu kepada pengumpulan pahala dan penghindaran dosa? Jawapannya, sudah tentu tidak.

Menjadi tanggungjawab manusia untuk menarik perhatian Allah kepada dirinya yang dhoif dengan mengumpul seberapa banyak pahala yang mampu dan meminimakan seberapa banyak dosa yang boleh. Penyesalan, taubat dan istighfar, perlu sentiasa meniti di bibir. Datang dari hati yang tulus ikhlas. Tidak perlu banyak, tapi istiqamah itu perlu.

Teringat kepada rintihan 'abid dalam bentuk syair yang indah:
Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgamu,
Namun tidak upaya menahan seksaan api nerakamu,
Oleh itu kurniakanlah kepadaku taubat dan ampunkanlah dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Dosa dan Maha Agung.

Wallahu'alam.