Monday, 27 February 2012

Mengajar: Bolehkah minta bayaran??

PENCIPTAAN MANUSIA di dunia ini, kerana 2 tujuan, iaitu; khalifatullah dan ibadatullah. Kedua-dua tujuan ini, dinisbahkan kepada Allah swt. Maksudnya, Allah adalah tujuan terakhir penciptaan manusia. Kerana itu, apapun yang dilakukan di dunia ini, biarlah mencari redha Allah.

Mencari redha Allah, bukan sesuatu yang mudah. Ia tidak semudah mencari redha manusia. Namun, ia wajib dikejar, kerana ia satu-satunya bekalan dan pemangkin kepada kurniaan jannah kepada manusia. Dan tidak dilupakan, nikmat yang terbesar, iaitu melihat Allah swt.

Dalam mencari redha Allah, pelbagai dugaan, ujian, fitnah dan halangan akan menimpa. Ia datang dengan pelbagai bentuk. Harta, pangkat, wanita dan ingin dikenali adalah antara ujian dan fitnah yang biasa disebut dalam al-Quran. Dan ramai yang terkandas dek kerana penangan ujian tersebut.

Tidak ketinggalan kepada golongan pendakwah, penasyid dan lain-lain, mereka turut diberikan ujian dan fitnah tersebut. Meletakkan harga yang mahal untuk setiap undangan daripada orang yang ingin mendapat ilmu dan penerangan daripada mereka.

Para 'ulama pernah membahaskan tentang meletakkan harga untuk setiap pengajaran al-Quran, adakah ia harus atau haram. Sesetengah berpendapat ianya haram, kerana mengajar al-Quran itu hukumnya fardhu kifayah. Manakala, sesetengahnya berpendapat ianya harus kerana mengenangkan ianya memakan masa dan tenaga yang boleh menyebabkan si pengajar tadi tidak dapat membuat pekerjaan lain, selain mengajar al-Quran, sedangkan dia mempunyai keluarga untuk diberikan nafkah. Sesetengahnya berpendapat tidak boleh meletakkan harga untuk pengajaran tersebut, namun jika diberikan, si pengajar harus menerimanya.

Daripada perbahasan mengenai pengajaran al-Quran ini, dapat disimpulkan bahawa tidak salah untuk meletakkan harga dalam setiap pengajaran. Seperti guru, pensyarah, penceramah dan lain-lain. Namun, jika diletak harga yang melampau, maka dibimbangi, hikmah pengajaran itu akan hilang.

Ketahuilah, bahawa sesuatu perkongsian ilmu itu, bukan semata-mata menjadi mata pencarian di dunia, tetapi juga mencari mata pencarian untuk kehidupan akhirat. Tidak salah mengejar saham dunia, tetapi yang lebih perlu dikejar adalah saham akhirat. Itu adalah antara tugas manusia sebagai khalifatullah dan ibadatullah. Moga kita semua dijauhi daripada kesemua fitnah ini. Na'uzubillah.

No comments:

Post a Comment